PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali mahu ketua jabatan atau pegawai atasan kerap turun ke lapangan untuk memastikan segala visi dan dasar kerajaan sampai ke peringkat bawahan dan dilaksanakan sebaiknya.

Pada Sesi Bual Bicara Bersama KSN yang dikendalikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar di sini pada Khamis, beliau berkata ketua-ketua tidak harus bergantung kepada orang bawahan semata-mata.

"Ketua-ketua yang ada ini walaupun dia tegas, keras ke apa perlu kerap turun ke bawah dan jangan harap hanya orang di bawah sahaja untuk melaksanakan tugas," katanya ia adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan menjayakan organisasi masing-masing.

Sesi berkenaan yang berlangsung hampir sejam diadakan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam UUM.

Berkongsi kisah ketika mengambil alih tampuk pentadbiran awam pada Januari 2020, Mohd Zuki berkata isu defisit kepercayaan antara kerajaan yang ada dan penjawat awam agak kritikal.

"....sebab kita dah lama dengan kerajaan dahulu dan mereka (kerajaan ketika itu) kata kita masih sokong kerajaan terdahulu. Sebenarnya tidak, kita sebagai penjawat awam dan boleh tanya Ketua Setiausaha (KSU) lain, kita berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah," katanya.

Beliau berkata penjawat awam antara individu yang paling cepat bertindak dan terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa biarpun kerajaan telah bertukar kerana ia merupakan "kesetiaan" kepada kerajaan.

Ditanya petua dalam menangani krisis dan keperluan bersedia secara fizikal dan mental, katanya beliau sering menjadikan pengalaman orang lain atau orang bawahan sebagai panduan dan merujuk kepada individu lain yang pernah melalui krisis.

"Itulah saya nak nasihatkan kepada pegawai muda, kita rasa kita hebat tetapi jangan lupa pada orang bawah yang mungkin pernah melalui pengalaman lebih besar dan kita kumpul pandangan mereka dan sesuaikan dengan situasi kita," katanya.

Beliau berkata antara amalan terbaik yang perlu diikuti setiap penjawat awam adalah sentiasa bersedia dan kekal tenang dalam apa jua situasi kerana tertakluk kepada prosedur dan peraturan sedia ada.

"Penjawat awam masih mendapat kepercayaan rakyat, jadi kita berikan perkhidmatan sebaiknya supaya akhirnya rakyat akan bergantung kepada kita," katanya.

-- BERNAMA